Author: Dr Ahmad Sanusi Azmi

  • Melupakan Kesalahan Pasangan

    1. Salah satu panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah mengenai akhlak seorang suami ialah menegur isteri secara baik dan melupakan sebahagian kesalahan mereka. Iaitu dia tidak mengungkit secara terperinci bahkan memberikan teguran yang perlu sahaja.
    2. Perkara ini diceritakan dalam al-Quran apabila Allah mendedahkan kepada kita bagaimana Nabi menegur isterinya sebahagian kesalahan yang dilakukan oleh mereka dan tidak mendedahkan sebahagian kesalahan yang lain. Firman Allah:

    عَرَّفَ بَعْضَهُ وَأَعْرَضَ عَن بَعْضٍ ۖ

    “(maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya)” (Surah al-Tahrim: 3)

    1. Ketika menafsirkan ayat ini, Sheikh al-Tantawi menjelaskan bahawa Baginda hanya menceritakan bahagian kesalahan yang perlu sahaja supaya pihak isteri tidak terasa dengan penerangan yang terlalu detail mengenai kesalahannya. Kata al-Tantawi:

    اكتفى بالإشارة إلى جانب منه ، ولم يذكر لها تفاصيل ما قاله لها سابقا . لسمو أخلاقه – صلى الله عليه وسلم – إذ فى ذكر التفاصيل مزيد من الخجل والإحراج لها

    “Baginda memadai dengan hanya menyebut sebahagian daripadanya (sebahagian kesalahan sahaja) dan tidak menyebutkan perincian apa yang diucapkannya kepada isterinya sebelum itu. Ini adalah ketinggian akhlak Baginda Nabi SAW kerana dengan menyebutkan kesalahan secara terperinci akan menambah malu isteri dan lebih menyakitkan hati mereka.”

    1. Begitu tinggi akhlak Rasulullah, dalam memberikan teguran pun, Baginda berusaha menjaga hati isteri yang ditegur agar mereka tidak terasa. Malah menurut Sheikh al-Tantawi lagi, buat-buat lupa kesalahan pasangan merupakan akhlak suami yang mulia. Beliau menukilkan kata-kata salaf terdahulu:

    ما زال التغافل من فعل الكرام

    “Sentiasalah perbuatan melupakan (kesalahan itu) adalah perlakuan orang yang mulia.”

    Semoga Allah membimbing kita.

    Dr. Ahmad Sanusi Azmi
    https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

  • Kenapa Masa Terasa Singkat?

    1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah ﷺ mengingatkan kepada kita bahawa apabila semakin dekat hari kiamat nanti, manusia akan merasakan masa semakin singkat. Sabda Rasulullah:

    لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ فَتَكُونَ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ

    “Tidak akan terjadi hari kiamat sehinggalah masa semakin singkat, (Manusia akan merasakan) Masa setahun jadi seperti sebulan sahaja.” (HR al-Bukhari)

    1. Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam Ibn Hajar menyatakan bahawa di akhir zaman itu manusia akan merasakan masa akan semakin singkat. Ini berlaku kerana hilangnya keberkatan masa.
    2. Pandangan yang sama turut dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi. Kata al-Nawawi:

    الْمُرَادُ بِقِصَرِهِ عَدَمُ الْبَرَكَةِ فِيهِ

    “Dan yang dimaksudkan dengan singkatnya masa itu adalah disebabkan kerana hilangnya keberkatan masa.”

    1. Perhatikan bagaimana para sarjana terdahulu menghasilkan karya yang sukar untuk dihasilkan oleh generasi pada hari ini. Sebagai contoh apa yang dilakukan oleh al-Imam al-Nawawi. Menurut Ibn al-Attar, al-Imam al-Nawawi meninggal pada usia 45 tahun (Tuhfah al-Talibin, 43). Walaupun melalui usia yang singkat, beliau meninggalkan karya yang tidak terhitung.

    Dr. Khalid Abu Syadi menyebutkan bahawa sekiranya dibahagikan usia hidup al-Nawawi dengan jumlah karyanya, kita akan dapati seolah al-Nawawi mengarang setiap hari sebanyak empat helaian kertas. (Sibaq Nahw al-Jinan, 23).

    1. Menurut al-Khatib al-Baghdadi pula, al-Imam Ibn Jarir al-Tabari (M310H) menulis setiap hari sebanyak 40 helaian kertas. Dr. Abu Syadi menjelaskan bahawa, sekiranya dikira usia al-Imam al-Tabari dengan tabiat penulisan beliau setiap hari ini, penulisan beliau mencapai bilangan hampir 584,000 helaian penulisan yang dihasilkan.
    2. Seakan-akan keberkatan masa itu sentiasa mengiringi mereka sehingga mereka menghasilkan sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh orang lain. Sedangkan kita dan mereka telah dikurniakan dengan tempoh masa yang sama. Bumi tidak pernah berputar lebih perlahan ketika mereka menulis. Tetapi karya yang dihasilkan seakan-akan masa yang dilimpahkan buat mereka lebih banyak dari kita.

    Semoga Allah membimbing kita.

    Dr. Ahmad Sanusi Azmi
    https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

  • Nasihat Dr. Ali Jum’ah dalam Isu Perdebatan

    1. Amat menarik sekali pesanan yang diungkapkan oleh Sheikh Dr. Ali Jum’ah berhubung sikap perdebatan tanpa ilmu. Beliau memetik hadis Nabi yang bersabda:

    مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِىَ بِهِ الْعُلَمَاءَ، أَوْ لِيُمَارِىَ بِهِ السُّفَهَاءَ، أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ، أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ

    “Barangsiapa mencari ilmu untuk menyaingi para ulama atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau memalingkan wajah manusia kepada dirinya (untuk menarik perhatian manusia), maka Allah memasukkannya ke dalam neraka.” (HR al-Tirmizi)

    1. Ketika mengulas hadis ini, Sheikh Ali Jum’ah menegaskan:

    يعني هو لا يريد العلم من أجل منفعة البشرية، وعمارة الأرض، وتصحيح عبادة الله، هو يريد أن يقال عنه إنه عالم حتى يشاغب مع العلماء، حتى إذا جلس في المجالس يُلتفت إليه

    “Iaitu dia bukan bertujuan mencari ilmu untuk manfaat manusia, bukan untuk memakmurkan dunia, membetulkan pengabdian kepada Allah. Tetapi dia mencari ilmu supaya orang menyatakan dia itu alim sehingga dia boleh berdebat dengan ulama, atau sekiranya dia duduk dalam satu majlis, manusia akan memaling melihat dirinya (cuba mencari perhatian manusia).

    1. Malah pada bahagian penutup penulisan beliau itu, Dr. Ali Jum’ah memetik hadis Nabi yang bersabda:

    وَمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَهُوَ مُحِقٌّ بُنِىَ لَهُ فِى وَسَطِهَا

    “Barangsiapa yang meninggalkan perbalahan sekalipun dia berada di pihak yang benar, maka Allah akan membina baginya mahligai di Tengah (syurga)… (HR al-Tirmizi)

    1. Nasihat Dr. Ali Jum’ah ini sangat penting dalam situasi kita hari ini. Beliau menegaskan ada golongan yang suka berdebat bukan kerana kebenaran tetapi semata-mata hanya inginkan perbalahan sahaja. Kata beliau:

    يريدوا المخاصمة، والجدال، والمنازعة، ولا يريدون أن يصلوا إلى الحق الذي هو عند الله

    “Mereka hanya inginkan pergaduhan, perdebatan dan pertikaian dan bukannya ingin mencari kebenaran yang berada di sisi Allah.

    1. Oleh yang demikian, sama-samalah kita bermuhasabah dalam perkara yang diperselisihkan. Jangan merasakan diri megah, sewenangnya menuduh orang lain salah dalam perkara yang khilaf dan tidak membawa perbalahan yang meleret-leret.

    Semoga Allah membimbing kita.

  • Kepentingan Pendidikan Agama Buat Anak

    Kajian yang dijalankan oleh Harvard University mendapati bahawa anak-anak yang dibesarkan dengan didikan agama akan membesar dengan lebih sihat dan mempunyai kehidupan yang lebih baik ketika dewasa.

    Kajian yang dikendalikan oleh Harvard School of Public Health ini dijalankan ke atas 5000 responden berusia di antara 8 hingga 14 tahun. 18% daripada mereka menikmati kadar kegembiraan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak menerima pendidikan agama sejak dari kecil.

    Sekalipun kesedaran tentang agama dilihat menurun di Amerika, 51% daripada mereka masih menganggap agama sebagai sesuatu yang sangat penting. Perkembangan di Amerika sangat membimbangkan apabila Pew Research Centre mengeluarkan data bahawa 36% daripada anak-anak yang lahir sekitar tahun 1990 hingga 1996 tidak mengikat diri mereka dengan sebarang agama.

    Atas dasar itu Rasulullah menekankan tentang kepentingan membesarkan anak dengan agama. Mereka yang dibimbang dengan iman akan mempunyai hidup yang lebih terpandu dan sejahtera seperti yang dinyatakan oleh kajian di Harvard tersebut. Anehnya kita cuba pula mengurangkan pendidikan agama kerana bimbang anak-anak akan lebih menjadi lebai sedangkan kajian mengesahkan dapatan yang lebih positif.

    Rasulullah ﷺ sangat menekankan pendidikan asas agama bagi anak-anak Muslim. Al-Imam Ibn al-Qayyim menjelaskan bahawa seawal kelahiran anak kecil itu lagi kita telah dianjurkan untuk membisikkan azan ditelinga mereka. Lafaz-lafaz tauhid yang menerobos ke telinga mereka menggambarkan betapa penerapan nilai aqidah perlu diterapkan sejak anak kecil itu lahir ke dunia lagi. (Ibn al-Qayyim, Tuhfah al-Maudud)

    Al-Imam al-Bayhaqi merekodkan bagaimana Rasulullah ﷺ berpesan kepada Ibn Abbas dan Ibn Amru (riwayat Ibn al-Sunni), bahawa perkataan pertama yang seharusnya diajarkan kepada anak kecilmu adalah kalimah tauhid. Sabda Nabi ﷺ kepada Ibn Abbas:

    افتحوا على صبيانكم أول كلمة لا إله إلا الله ولقنوهم عند الموت لا إله إلا الله

    “Ajarkanlah atau jadikanlah perkataan pertama pertama anak kecilmu perkataan Lailahaillah. Dan ajarilah mereka saat kematian mereka juga perkataan Lailahaillah. (al-Bayhaqi, Shu’ab al-Iman)

    Sunnah Rasulullah ﷺ ini juga dapat kita fahami melalui perilaku sahabat. Jundub al-Bajilli turut menceritakan bagaimana ketika mereka muda remaja, Rasulullah akan menekankan tentang perkara aqidah dahulu sebelum pengajian Quran (Shuab al-Iman). Begitu juga dengan Ummu Sulaym yang mengajarkan Saidina Anas tentang lafaz tauhid sebelum perkara yang lain (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala).

    Penekanan ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menerapkan keutuhan aqidah sejak mereka kecil. Pendidikan agama seawal usia ini adalah bagi membentuk etika serta peribadi anak kecil ini.

    Janganlah kerana kehendak politik kita mengurangkan pula pendidikan agama anak-anak kita disekolah. Ia tidak lain hanya akan merugikan kita dalam pembentukan jiwa Muslim dalam anak-anak kita.

    Semoga Allah membimbing kita.

  • Jenazah Morsi Pun Mereka Takut

    Begitulah lumrah pejuang Islam, sehingga jenazah mereka digeruni golongan zalim. Menurut akbar, Morsi dikebumikan pada waktu subuh, tiada ahli keluarga yang hadir melainkan isteri dan dua orang anak. Jenazah tidak dipulangkan untuk dibedah siasat. Media tidak dibenarkan hadir. Tiada liputan media di ruang utama akhbar, kematiannya didiamkan. Tiada orang awam dibenarkan hadir. Begitu mereka takut dengan jenazah Morsi yang sudah tidak bernyawa. Allah mengangkat nilai pengorbanannya sehingga tubuh yang tidak bernyawa ini begitu digeruni.

    Inilah nilai sebuah perjuangan dalam menentang kezaliman. Allah membebaskan Morsi dari penjara dunia dan menjemput beliau ke sisiNya. Kekurangan yang berlaku ke atas Morsi mengingatkan kita kisah syahid Saidina Mus’ab bin Umair, jenazah yang mengingatkan kaum Muslimin tentang erti sebuah kehidupan.

    Ketika lalu dihadapan jenazah Mus’ab yang syahid di medan Uhud, Rasululullah kelihatan sangat sebak. Baginda terkenangkan perjuangan Mus’ab yang menjadikan dirinya semuanya untuk Islam. Baginda lalu membacakan ayat:

    مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ

    “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran…”

    Morsi telah bersikap benar dengan janji Allah dalam usaha mempertahankan Islam dengan ruang dan kefahaman yang ada pada beliau. Allah membeli jiwa-jiwa orang beriman dengan ganjaran yang tiada tolok bandingan. Apa yang telah kita lakukan dalam memartabatkan agama Allah ini?

    Semoga Allah membimbing kita.